BATALION KEENAM
REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA


SEJARAH PASUKAN
Apabila tercetus keadaan darurat pada 17 Jun 1948 pasukan Askar Melayu hanya terdiri dari dua batalion sahaja. Jumlah pasukan infantri pada masa itu ialah 13 batalion (5 British, 6 Gurkha dan 2 Batalion Askar Melayu). Tentera Udara pula, mempunyai 100 buah kapal terbang dan pasukan polis mempunyai kekuatan anggota seramai 10,223 orang. Selepas itu 3 lagi pasukan Askar Melayu ditubuhkan, pasukan ke 3 pada 1 Julai 1948, pasukan ke 4 pada 1 April 1949 dan pasukan ke 5 pada 1 April 1951. Pada ketika itu juga pasukan Tentera Malaya telah diperbesarkan untuk persediaan bagi menghadapi kemerdekaan Malaya dan juga mengambil alih tanggungjawab keselamatan dalam negeri.
Penubuhan Batalion Ke Enam Rejimen Askar Melayu DiRaja (6 RAMD) adalah merupakan susulan kepada penubuhan batalion-batalion RAMD yang terdahulu iaitu 2 RAMD, 3 RAMD, 4 RAMD dan 5 RAMD. Ditubuhkan di Port Dickson pada peringkat awalnya pada 1 Mei 1952 dan pada 3 November 1952 batalion ini telah berpindah ke Kem Quetta, Kluang, Johor. Sejak itu tarikh 3 November 1952 telah dijadikan hari rasmi pasukan 6 RAMD. Batalion 6 RAMD adalah merupakan gabungan kompeni-kompeni dari keempat-keempat batalion RAMD di atas. Pada peringkat awal penubuhannya di Port Dickson, pegawai-pegawai 6 RAMD terdiri daripada pegawai-pegawai British ( 1st Devonshire and Dorset Regiment ) yang ditumpangkan atau dipinjamkan sementara. Keadaan ini berterusan sehinggalah awal tahun 1954. Walaubagaimanapun pada penghujung tahun 1954, suasana ini bertukar wajah di mana pada masa itu pegawai-pegawai berbangsa Melayu telah berjaya mendominasi kekuatan pegawai-pegawainya dengan 21 dari 26 pegawai-pegawai batalion ini terdiri daripada orang Melayu.